Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #10


BAB SEPULUH 

“Hello Khal.. Angah..!” ujar Zarina di hujung talian. 
“Hello Along. Boleh dengar Khal tak?” balas Zikry di talian. 
“Ya, Khal tolong cakap kuat sikit, Along tengah drive ni.” Balas Zarina lagi. Dia memang menunggu-nunggu panggilan dari adiknya yang seorang itu. Ingin diceritakan pada adiknya itu apa yang telah terjadi sepanjang ketiadaannya. 

“Sorry Along. Takpalah, Khal telefon kemudian ya. Khal cuma nak bagitahu Along yang Khal rasa, Khal dah jumpa jodoh Khal.” Kata Zikry di talian, tersengih-sengih sendirian di dalam bilik hotel. Dia mahu kakaknya itu jadi di antara orang yang pertama tahu. 
“Huhh? Jodoh? Magic!” usik Zarina, cerita yang pada mulanya ingin diberitahu Zikry terus lenyap dari fikiran. “Takpalah, masa yang sesuai nanti aku akan bagitahu Khal juga” ujarnya dalam hati. Ceritanya hanya disimpan. 

“Ya lah Along. Jangan tak percaya. Tapi betul lah, memang magic.” Usik Zikry lagi. Dia sendiri mengakui bahawa perasaan yang dialaminya sekarang amat berlainan dengan perasaannya ketika bercinta dengan Adira. Adira lebih moden dan bergaya, cantik dan kawan-kawan Zikry turut mencemburui mereka. Zikry juga menyayangi Adira, tapi perasaannya lenyap 100% apabila dia mengetahui Adira tidak menyayanginya sepenuh hati, ianya cuma atas dasar kemewahan yang ingin dikecapinya. Zikry tahu, dia sendiri tersilap kerana tidak mendengar nasihat dari rakan-rakan perempuan lain di pejabatnya tentang Adira. Mereka sebenarnya bekerja dengan syarikat yang sama, Cuma Adira di pejabat dan Zikry bertugas di offshore.  Zikry memang seorang yang cepat serik dan tidak berganjak dari keputusannya sehinggakan dia sanggup melukakan hati ibu bapanya sendiri kerana mahu membatalkan majlis pertunangan mereka. 

Talian telefon dimatikan. Zarina tersenyum sendirian mengingatkan perkara yang diberitahu adiknya tadi. “Baguslah Khal dah jumpa jodohnya” getusnya lagi dalam hati. Dia sebenarnya ingin memberitahu tentang perbualan dia bersama ibunya pada hujung minggu yang lalu, di mana ibunya telah menyatakan hajatnya ingin menyatukan Zikry dengan  anak rakannya. Tidak cukup dengan berita itu, pakcik mereka yang sedang diserang angin ahmar dan sedang berada di Hospital Taiping. Zikry amat rapat dengan Pak Ngah nya itu. 

“Mama, mama. Pak Ngah ke yang telefon?” Tanya Nia, anak sulung Zarina berusia 5 tahun sebaik sahaja dia meletakkan gagang telefon. 
“Aah Nia, Pak Ngah call. Pak Ngah dekat India tau.” Balas Zarina sambil menepuk peha Nia di sebelahnya. 
“Nia nak Pak Ngah.” Sambungnya lagi. Rindu agaknya pada pakcik saudaranya itu. 
“Ok, nanti kalau Pak Ngah call lagi, mama Nia cakap dengan Pak Ngah tau.” Pujuk Zarina sambil membelokkan keretanya ke rumah ibunya. Dia yang baru pulang dari kerja dan mengambil anak perempuannya berhasrat hendak menziarahi ibunya petang itu. 

Turun sahaja dari kereta, Nia terus meluru masuk ke dalam rumah neneknya. Dia duduk dan mulutnya muncung, merajuk kerana tidak dapat bercakap dengan Pak Ngah nya. 
“Nia nak Pak Ngah.” 
Ibu Zarina yang baru saja keluar dari dapur terus melihat Zarina. Lantas Zarina terus memberitahu ibunya tentang apa yang terjadi sebentar tadi. 
“Nia jangan macam ni. Kan tadi mama dah kata nak bagi Nia cakap dengan Pak Ngah.” Pujuk Maimunah. Diusapnya kepala Nia. Nia masih muncung.
“Nia nak tahu tak, tak lama lagi Nia nak dapat Mak Ngah.” Ujar Maimunah sambil matanya melirik kepada Zarina. Zarina hanya membulatkan mata terkejut dan tidak bersetuju hal sebegitu diceritakan di depan anaknya yang masih tak tahu apa-apa. 
“Ibu, apa maksud ibu?” tanyanya sambil duduk bertentangan dengan ibunya itu. 
“Betullah, maksud Ibu, Khal tak lama lagi nak dapat isteri.” ujar Maimunah tersenyum. 
“Ibu dah tanyakan dengan isteri Uncle Hassan tu, anak perempuan they all masih available. Kerja pun bagus. Berkenan ibu tengok. Khal pun mesti suka.” tokok Maimunah sambil tersenyum meleret. 

Jauh di sudut hatinya, dia merisaukan anak lelaki sulungnya itu. Diakui hubungan mereka sedikit dingin dek kerana hal yang telah lama berlalu, namun kasih saying Maimunah masih sama padanya. Telah tiba masanya Maimunah merasakan dia harus berbuat sesuatu kerana tidak nampak Khal berusaha ke arah itu. Bermacam-macam alasan yang diberikan sekiranya ditanya. 
“Ibu, Ina rasa, Ibu kena cakap dengan Khal dulu hal ni. Ibu bukan tak tahu Khal tu. Nanti dia tak berkenan ke apa ke, kot dah ada pilihan ke, kan ke payah nanti.” Jawab Zarina sambil melihat ibunya yang sedang mengusap-usap kepala anaknya. 


“Ibu tahu lah apa ibu buat Ina. Janganlah risau. Tunggu si Khal tu entah bilalah ibu nak tengok dia bersanding. Mana tahu Acu pun nak join sekaki, senang kerja ibu” Katanya lagi sambil ketawa. Anak bongsu kesayangannya itu kini berkerja sebagai pensyarah sambilan di sebuah university tempatan. Umurnya muda 2 tahun dari Khaleed Al Zikry. Memang mudah kerjanya kalau anaknya yang berdua itu dapat disatukan dalam masa yang sama. Barulah lega rasa hati seorang ibu. 

----------

No comments:

Post a Comment