Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #2






BAB DUA
Sejak berpencen, Pak Jali sering menghabiskan masanya dengan berkebun. Kawasan depan dan belakang rumahnya yang agak luas tidak dipersiakan. Rambutan, langsat, mangga boleh dinikmati bersama keluarga apabila tiba musimnya. Air kelapa pandan juga boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana pokoknya tidak putus berbuah. Isterinya, Ruzana atau lebih dikenali di pekan kecil itu sebagai Cikgu Zana pula merupakan seorang guru matematik dan masih berkhidmat di sekolahnya. Razali dan Ruzana dikurniakan dengan 3 orang zuriat iaitu Dahlia dan pasangan kembar Dewi Kirana dan Danial Khairy. 

Kehidupan mereka sekeluarga sederhana, anak-anak dibesarkan dengan disiplin yang tinggi dan diajar berdikari. Adik kembar Dahlia mewarisi raut wajah persis ibu mereka yang berketurunan Cina, bermata sepet dan berkulit cerah manakala Dahlia mirip Pak Jali yang kulitnya sawo matang, tinggi, berkaca mata dan berhidung mancung.

Kirana dan Khairy berkongsi kegemaran yang sama iaitu bermain alat muzik. Bezanya Khairy sukakan gitar dan Kirana sukakan drum. Ketika mereka remaja, bertahun mereka berdua mengumpul duit bagi membeli alat muzik yang digilai. Cikgu Zana dan Pak Jali tidak pula melarang cuma sesekali menegur Kirana yang sedikit kasar perwatakannya seakan tomboy. Dahlia pula akan dipaksa menyanyi oleh adik-adiknya apabila mereka berdua bermain alat muzik masing-masing. Riuh rendah rumah mereka tiap kali berkumpul. 

Berbanding dengan Dahlia, masanya banyak dihabiskan dengan membaca dan sekiranya terluang, dia pasti mengaturkan percutian solonya. Baginya, dia perlu masa untuk dirinya sendiri. Jauh dari kesibukan kerja, dan berjauhan sebentar dengan keluarga dan kawan-kawannya. Bermula dengan bercuti sendiri ke negara jiran Singapura, kemudian ke Australia hinggalah sampai ke negara eropah timur dan China. Kini Dahlia sedang merancang ke India pula untuk melihat sendiri kehebatan karya cinta agung Taj Mahal. “Life is too short to be wasted”. Itulah alasan yang diberikan kepada ayah dan ibunya setiap kali mereka berdua merisaukan keselamatan Dahlia ketika bercuti berseorangan. 

----------

No comments:

Post a Comment