Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #8


BAB LAPAN 

Sampai saja di bilik hotel, Dahlia terus mandi dan menunaikan solat jamak takdim. Dia amat bersyukur kerana diberikan kesihatan dan kelapangan untuk menunaikan hasratnya ke bumi India ini. Seusai solat, Dahlia menghubungi keluarga di kampung. Kirana dan Khairy ada pulang bercuti hujung minggu di rumah ibu dan ayahnya. Gembira benar Kirana bila Dahlia memberitahu yang  dia telah pun sampai ke Taj Mahal. Dikirimkannya gambar di Taj Mahal kepada adik-adiknya melalui pesanan ringkas. Dahlia berjanji satu hari nanti akan membawa Kirana ke Taj Mahal, sekiranya dia benar-benar ingin. 
Dia hendak lelapkan mata untuk seketika. Ketika berpecah ke bilik masing-masing tadi, Dahlia telah memberitahu Zikry dan Azlan yang dia tidak akan keluar pada petang itu. Dia terasa amat letih. Mana tidaknya, seharian mengendong beg sandang yang beratnya entah berapa kilo, ditambah pula dengan terik mentari. Dahlia selalu kalah dengan panas terik, dan seringkali migraine. Ubat sentiasa dibawa bersama, tidak kira ke mana pun dia pergi. 

Seperti telah dijangka. Kepalanya mula rasa berdenyut. Mulanya sedikit kemudian bertambah kuat, disapunya minyak angin namun sakit tidak berkurang. Dahlia bangun untuk minum air suam dan makan ubat. Dan akhirnya dia terlena. 

“Tak berjawab pulak, dah turun ke Dahlia ni?” Zikry berkata sendiri. 
“Jomlah turun Lan, aku rasa Dahlia dah tunggu di bawah agaknya.” ajak Zikry. Azlan yang sedang menyikat rambutnya terus menyertai Zikry ke pintu. 
Mereka bertiga berjanji hendak turun makan malam bersama-sama malam itu. Zikry dan Azlan telah mendapatkan alamat sebuah lagi restoren halal Moghul tidak jauh dari hotel mereka. Malangnya Dahlia tiada di lobi hotel. Sekali lagi Zikry menelefon ke bilik Dahlia melalui kaunter resepsi di lobi hotel. Masih tidak berangkat. Zikry memeriksa telefon bimbitnya, mana tahu kalau Dahlia ada tinggalkan sebarang pesanan. Tiada. Azlan meninjau-ninjau di kawasan lobi itu, nyata tiada juga kelibat Dahlia. 
“Cuba kau tengok dekat bilik dia Zikry, mana tahu kalau dia ada masalah apa ke” cadang Azlan. Dia hanya mahu tunggu di lobi. 

“Ting tong, ting tong.” Bunyi itu seakan jauh di telinga Dahlia. 
“Ting tong, ting tong. Assalamualaikum” Sekali lagi. Kali ini bunyinya jelas, bunyi suara memberi salam juga dapat didengari. Dahlia cuba bangun dan mencapai tuala untuk menutupi kepalanya. 

Kelihatan dalam samar Zikry di muka pintu biliknya kerana Dahlia tidak sempat memakai cermin matanya. 
“Dahlia, you ok ke, muka you sembab sangat ni, pucat je?” tanya Zikry risau melihat Dahlia yang nampak lemah.  
“Saya sakit kepala, dah pukul berapa ni?” Jawab Dahlia. 
“Pukul 7.30 malam, tadi kita janji nak makan sama, tu I jenguk you kat bilik sebab you tak turun2”. Jelas Zikry. Khuatir juga Dahlia memikirkan dirinya yang buruk-buruk. 
“Sorry2, lepas makan ubat, saya terus tertidur. Awak keluarlah ya, saya…..” belum pun sempat Dahlia menghabiskan ayatnya. Dia terus menekup mulutnya, terasa segala isi perutnya mahu keluar. Dia terus berpaling pantas untuk ke tandas, mujur tandas bersebelahan saja dengan pintu masuk bilik itu. Dengan spontan, Zikry juga menerpa masuk ke dalam bilik Dahlia, menunggu di tepi pintu tandas, pintu bilik sengaja dibiarkan terbuka luas. Kedengaran Dahlia sedang muntah. “Kesian dia.” bisik Zikry dalam hati. 
“Zikry, boleh awak ambilkan cermin mata saya atas side table tak?” ujar Dahlia dari dalam tandas. Zikry merapatkan telinganya ke pintu tandas dan menyuruh Dahlia tunggu sebentar. 

“Dahlia, ini cermin mata you.” Kata Zikry seraya mengetuk pintu tandas. Dahlia sejurus kemudian keluar dari tandas dan memakai cermin matanya. Zikry memerhatikan wajah Dahlia di sebalik tuala di kepalanya. Asli tanpa sebarang alat solek. “Manis.” detiknya dalam hati lagi. 
“Sorrylah Zikry, saya tak dapat tahan tadi. Tiba-tiba rasa nak terkeluar sangat. Buat malu saja.” ujar Dahlia yang masih berdiri di muka pintu tandas. Zikry sudah menginjakkan badan berdekatan  pintu bilik. 
“Eh, apa pulak nak malu. Dah you sakit. Macam ni lah, I belikan makanan untuk you ya, you tak payahlah keluar, rehat saja.” cadang Zikry sambil kakinya keluar dari pintu bilik itu. Dahlia mengiringinya. 
“Ok, thanks.” ujar Dahlia, memang itu permintaannya tadi, tapi tidak sempat dihabiskan ayatnya, dia pula muntah. Dia terasa sedikit lega selepas muntah. Lazimnya dia begitu sekiranya migraine nya menyerang. Keluarga dan rakan sebilik di universiti Dahlia sudah faham benar.  Selepas makan ubat, kebiasaannya dia akan tidur selama 2-3 jam, kemudian bila bangun, dia akan muntah. 

Zikry hanya membuat isyarat “ok” dengan tangannya dan berlalu. Dia bukan saja bimbangkan Dahlia. Tetapi dia juga sedikit kecewa kerana Dahlia tidak dapat bersama mereka malam itu. Dia baru bercadang ingin berborak panjang dengan Dahlia selepas makan malam nanti. Sudahlah esok, dia dan Azlan akan pulang ke Delhi, sedangkan Dahlia masih bermalam lagi di Agra. Aduh! 

“Apa yang kau buat lama sangat kat atas tu Zikry? Mana Dahlia nya?” sapa Azlan sambil tersengih nakal sejurus Zikry duduk di kerusi bersebelahannya di lobi. 

“Dahlia migraine. Dia tertidur dari petang tadi. Elok je bukak pintu, bercakap tak seberapa patah, dia muntah. Aku temankanlah sekejap.” Zikry membalas dengan senyuman dan seiring dengan itu, mereka berdua menuju ke kereta untuk makan malam. 

----------

No comments:

Post a Comment