Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #5



BAB LIMA 

“Hello, assalamualaikum abah. Boleh dengar Dahlia cakap?” tanya Dahlia di hujung talian. Malam tadi, selesai urusan check in di hotel dia terus merehatkan diri dan hanya sempat mengirim pesanan ringkas kepada ayahnya untuk memberitahu yang dia sudah selamat sampai ke kota Delhi. Perbezaan masa selama 2 jam 30 minit juga membuatkan Dahlia membatalkan niatnya untuk membuat panggilan telefon pada tengah malam tadi. Dia sampai di hotel sekitar jam 10:00 malam waktu India, di Malaysia sudah pun pukul 12:30 malam pada ketika itu. 
“Waalaikumsalam. Macamana di sana, semua ok? Hotel ok? Makan ok? Jumpa nasi lemak lauk paru?” tanya ayahnya. Makanan adalah soalan terawal yang akan ditanya bukan saja oleh ayah Dahlia tetapi oleh sesiapa saja rakyat Malaysia sekiranya ke luar negara. Mana tidaknya, rakyat Malaysia sememangnya mewah dengan kepelbagaian makanan, hinggakan susah hendak beradaptasi dengan makanan di tempat orang. 
“Hahahaa, abah ni. Perli la tu. Dahlia makan roti saja ni, buat air kopi. Manalah nak cari nasi lemak kat sini” jawab Dahlia dan disambut dengan tawa kecil ayahnya di hujung talian. 
“Dahlia tak boleh cakap lama sangat ya abah. Nanti Dahlia beli kad sim tempatan, mudah sikit nak buat panggilan, kirim salam semua. Assalamualaikum.” Dahlia menamatkan perbualan. 

Sekeping kertas kecil jatuh ke riba Dahlia apabila dia hendak memasukkan telefon bimbit ke dalam uncangnya semula. Dia kemudian tersenyum kecil melihat kertas itu. “Zikry, orang Malaysia juga rupanya, Ingatkan pak sheikh arab manalah yang langgar aku tadi.” katanya dalam hati. Zikry sememangnya mempunyai darah Pakistan dari datuknya. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai, memiliki mata yang tajam serta berkumis nipis dan senyuman yang manis membuatkan dia tampak menarik. 
Dahlia telah mengaturkan aktivitinya sepanjang di bumi India. Selain melawat tempat menarik di New Delhi seperti Lotus Temple, Qutub Minar dan National Museum di New Delhi, dia akan ke Agra untuk melawat Taj Mahal dan ke Jaipur untuk melihat beberapa bangunan bersejarah seperti City Palace dan Amber Fort. Perancangan ke Delhi telah dibuatnya sejak berada di semester akhir pengajian Mastersnya. Cuti belajar yang diperuntukkan kepadanya masih berbaki 3 bulan sebelum dia harus kembali bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. 

Kembara solonya kali ini adalah hadiah untuk dirinya. Dia berhasrat untuk berada tidak kurang dari 10 hari di sana, tiket pulang ke Malaysia masih belum dibeli kerana dia tidak pasti mahu mengambil kapal terbang dari kota yang mana satu. Bimbang juga sekiranya ada aral. Ikutkan hatinya, di mahu ke utara hingga ke selatan India, tapi masakan mungkin dalam masa cuma 10 hari. Sebagai pengembara solo juga, dia akan banyak menghabiskan masanya dalam keretapi yang sememangnya menjadi pengangkutan awam utama di India selain dari bas. Jarak di antara bandar adalah amat jauh sekali, dan pasti mengambil masa yang panjang. 

Berbeza dengan kembara solonya sebelum ini, Dahlia kali ini tidak memilih untuk tidur di  asrama atau hostel yang kebiasaannya menjadi tempat tinggal bagi golongan pengembara solo. Dia juga tidak memilih untuk tinggal bersama hos atau tuan rumah yang boleh ditempah melalui laman web tertentu yang selalunya menjadi tumpuan backpackers. Hal ini kerana dia sendiri agak risau dengan keselamatan dirinya di negara yang satu ini. 

Mengingkap kembali apa yang dilihatnya sebaik sahaja kereta hotel dipacu keluar dari kawasan Lapangan terbang Indira Gandhi malam tadi. Dahlia amat terkasima melihat betapa ramainya golongan gelandangan di pinggir jalan, di bawah jambatan, malahan di tepi jalan-jalan utama kota itu. Mereka tidak segan silu. Mereka terdiri daripada semua peringkat usia, ada yang tidur sekumpulan berhimpit-himpit kesejukan. Barangkali mereka satu keluarga. Populasi penduduk New Delhi sahaja ialah 26 juta orang, berbanding 1.7 billion orang bagi keseluruhan negara India, ianya hampir menyamai populasi penduduk Malaysia. Bayangkan betapa padatnya penduduk. Mungkin itulah faktor yang menyumbang ke arah banyaknya gelandangan. Tiada pekerjaan, tiada tempat tinggal. Kehidupan seharian di atas ihsan orang ramai. Dahlia insaf. 

Tempat menginap Dahlia terletak boleh dikatakan di kawasan tumpu pelancong dari pelbagai negara. Connought Place menyajikan pengunjung dengan deretan butik dan kedai untuk membeli belah.  Mudah untuk membeli keperluan harian, dan boleh dikatakan selamat untuk dihuni. Kebiasaanya, Dahlia akan memilih untuk tinggal di pinggir bandar untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat, tapi tidak di India kali ini. 

Pagi itu Dahlia mengambil keputusan untuk bersiar di sekitar kota Delhi. Dia hanya mahu menaiki bas atau teksi sahaja, ingin merasai apa yang orang tempatan rasa. Ingin menyelami dengan mata, tangan dan kaki sendiri peritnya kehidupan manusia di Kota Delhi. Pagi itu Dahlia melihat dengan mata dan kepalanya sendiri, bas awam yang padat dinaiki penumpang, hinggakan ada yang duduk di bumbung bas. Pagi itu juga Dahlia menyaksikan dengan matanya sendiri seorang ibu membasuh pakaian di aliran air longkang sementara 2 orang anak kecilnya sedang mandi dan bermain buih sabun dari longkang yang sama. Mulutnya melopong, jemarinya kaku hingga tidak sempat menekan butang kamera di tangan walau hakikatnya kamera sudah tersedia. “Masih ada lagi orang yang hidup begini pada tahun 2015? Sekolahkah anak-anak mereka? Sudah sarapan pagi atau belum hari ini?” Bermacam soalan mula menerkam jiwanya. Ikutkan hati, mahu saja dia turun dan menghulurkan bantuan kepada ibu muda itu. 

Kegusaran hatinya sedikit terubat apabila sampai di Qutub Minar. Dia kagum dengan binaan empayar islam yang telah wujud sejak tahun 1206 lagi. Setiap sudut menara dikelilinginya. Buatannya dari batu marbel dan batu bata merah amat kemas dan teliti. Unik sekali.  Di sekeliling Qutub Minar juga terdapat beberapa tinggalan sejarah yang lain. Kawasannya luas sekali dipenuhi oleh para pelancong. 


Kemudiannya Dahlia ke Lotus Temple yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari Qutub Minar. Keunikan kuil ini adalah pada reka bentuknya yang menyamai bunga teratai. Kuil ini telah siap dibina pada tahun 1986 dan dibuka untuk sesiapa sahaja. Dia tidak berhajat untuk masuk ke dalam kuil tersebut, memadai dapat melihatnya reka bentuk binaannya dari luar sahaja. Destinasi Dahlia seterusnya adalah ke India Gate yang merupakan binaan seperti pintu gerbang dibuat bagi memperingati pejuang-pejuang seramai 82,000 orang yang terkorban dalam perang dunia pertama. Kawasan itu juga merupakan kawasan bangunan-bangunan kerajaan. 

----------

No comments:

Post a Comment