Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #4


BAB EMPAT

Zikry tidak dapat melelapkan mata pada malam itu. Terpusing ke kanan, terpusing ke kiri. Sekejap melihat jam, sekejap melihat telefon bimbit. Rakannya Azlan telah mana lena beradu. Mereka menginap di kawasan berhampiran Qutub Minar, di daerah Mehrauli iaitu salah sebuah monumen tinggalan empayar Islam yang dibina oleh Qutubbudin Aibak pada tahun 1206. Ketinggian menara itu mencecah 72 meter dan terdapat ukiran ayat al-quran sepanjang menara tersebut. 

Azlan seorang yang meminati seni fotografi dan sentiasa meluangkan masa untuk pergi ke tempat menarik di seluruh dunia untuk mengambil peluang merakam gambar dari lensa sendiri. Sudah banyak kali Azlan mengajak Zikry menyertainya setiap kali dia keluar negara, namum kerap kali juga ditolak oleh Zikry. Zikry lebih suka menghabiskan masanya di rumah bersama keluarga, dan kalau bercuti juga bersama keluarga dan anak buahnya. Mereka merupakan rakan sekerja di pelantar minyak dan telah merancang untuk bercuti ke New Delhi sejak setahun yang lalu. Perancangan kerap kali tertunda kerana jadual kerja yang agak ketat. Mereka jemu melihat cuma laut yang luas terbentang, lantas memilih kota sesak yang terkenal ini untuk dilawati. Tidak juga menempah sebarang pakej lawatan, cuma mereka membuat sedikit bacaan dan telah membuat senarai tempat yang hendak dilawati. Kerana minatnya itu, Azlan mempunyai lessen memandu antarabangsa dan ianya amat memudahkan setiap kali dia ke mana-mana. 

“Sudah sudah lah tu Zikry, bawak-bawaklah tidur” tiba-tiba suara Azlan memecah kesunyian bilik yang dikongsi bersama. Bukan dia tidak perasan tingkah laku Zikry yang serba tak kena selepas berpisah dengan perempuan dari Malaysia di lapangan terbang tadi, tapi malas mahu melayan. Azlan tahu benar perangai Zikry yang tidak suka dikenen atau diusik dengan perempuan. 
“Nak tidur lah ni, tapi tak boleh lelap.” ujar Zikry sambil memalingkan badan ke katil Azlan. 
“Lan, kau rasa, awek tadi tu dah ada pakwe?” tanya Zikry lagi. Tidak berselindung lagi perasaan di hati. 
“Pelik bin ajaib! Tak pernah pernah kau concern sangat orang dah ada pakwe ke tak, alih-alih sampai tak boleh tidur malam memikir. Betul ke kau ni?” jawab Azlan acuh tak acuh dengan mata tertutup. 
“Betul la. Aku rasa dia tu pelik. Aku nak kenal dia lagi.” Zikry menjawab dan termenung melihat siling. 
“Akulah pakwe dia, kalau kau nak tau” usik Azlan. Matanya dibuka dan memerhatikan gelagat Zikry yang sedang termenung. 
“Biar betul, kau kenal dia ke?” tanya Zikry tidak sabar. 
“Hahahaa, manalah aku kenal. Janganlah kau risau.” Azlan berkata dan disambut oleh tawa halus keduanya. Azlan membiarkan Zikry terus terbuai melayan perasaan sendiri. 

Zikry berusia 29 tahun, sementara Azlan muda setahun darinya. Tapi mungkin disebabkan susuk tubuh Azlan yang sedikit gempal sering kali membuatkan Azlan nampak lebih tua dari Zikry. Keduanya masih belum berpunya. Mereka berkenalan sejak di universiti lagi. Keluarga saling mengenali. Dapat kerja pun dalam bidang yang sama walaupun berlainan syarikat. Bagaikan belangkas. 

Zikry anak kedua dari tiga beradik. Dia mempunyai seorang kakak dan mempunyai seorang adik lelaki yang menjadi kesayangan dalam keluarga. Anak bongsulah katakan. Namun Zikry tidak pernah ambil hati. Dia rapat dengan kakak dan abang ipar serta anak buahnya. Dia lebih senang dengan caranya sendiri walaupun kadangkala nampak seperti pentingkan diri. Ibu dan ayah Zikry merupakan anak jati Johor yang kini menetap di Kuala Lumpur. 

Ayah Zikry, Mohd. Fattah merupakan seorang ahli politik dan ibunya Maimunah seorang suri rumah tangga. Zikry dibesarkan dalam keluarga senang, namun kesibukan ayahnya membuatkan ibunya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak dan cucu. Hubungan Zikry dengan ibu dan ayahnya sedikit dingin selepas Zikry membuat keputusan untuk membatalkan pertunangan dengan bekas kekasihnya bernama Adira. Zikry dan Adira berkenalan selama 2 tahun sebelum membuat keputusan untuk bertunang. Malangnya di saat akhir, Zikry telah membatalkan pertunangan tersebut kerana dia mendapat tahu bahawa Adira banyak menipu di belakangnya dan hanya inginkan kemewahan darinya. Ayah dan ibu Zikry tidak setuju dengan tindakan Zikry yang dianggapkan telah memalukan keluarga dan tidak berpegang pada janji. Kisah tersebut sudah 3 tahun berlalu dan sejak itulah Zikry tidak terbuka hati untuk mencari pengganti. 

----------

No comments:

Post a Comment