Monday 30 March 2015

Seluruh Cinta #7


BAB TUJUH

Perjalanan selama 3 jam dari Delhi ke Agra dirasakan pendek kerana pemandangan di sepanjang lebuhraya Taj amat menarik hati Dahlia. Rupanya tidak berapa jauh pun dari kota Delhi, terdapat Buddh International Circuit yang baru siap terbina dan mula digunakan pada tahun 2011. Di situlah berlangsungnya pertandingan Formula One Indian Grand Prix pada saban tahun. “Sepang F1 Circuit pun aku belum tengok secara dekat, di India pula dapat peluang begini” bisik Dahlia dalam hatinya. 

Agra merupakan bandar yang terletak di utara Uttar Pradesh, Sungai Yamuna pula adalah sungai utama di situ. Taj Mahal merupakan tempat wajib dilawati buat semua yang pernah ke India, tidak lengkap rasanya kunjungan ke India tanpa melawat tanda cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal itu. Dahlia sudah tidak sabar ke salah satu tempat ajaib dunia. Selama ini dia hanya berpeluang melihat dari kaca televisyen dan membaca pengalaman orang lain di dalam blog. Hari ini dia akan dapat menjejakkan kaki sendiri ke sana. 

Akhirnya bas ekspress yang dinaiki Dahlia tiba juga di perkarangan ruang parkir Taj Mahal. Ramai betul pengunjung pada hari itu, kebetulan pula hari minggu. Dahlia meninjau-ninjau bangunan putih yang terbayang-bayang jelas dalam kotak fikirannya sekarang. “Tak nampak pun” ujarnya dalam hati. Oleh kerana Dahlia tidak menggunakan sebarang khidmat pemandu pelancong, dia mengikut saja halauan pengunjung-pengunjung lain yang tiba dengannya. Dia kemudiannya menuju ke arah pintu masuk, dan beratur untuk membeli tiket. Harga bagi pelawat asing adalah 750 rupee, manakala bagi warga tempatan cuma 20 rupee sahaja. Cuaca panas mula membahang walaupun jam baru menunjukkan pukul 10 pagi. Dari pembacaan Dahlia, musim panas di sana boleh mencecah 48 darjah celsius pada bulan April hingga Julai, manakala pelancong akan memilih bulan Oktober hingga Disember untuk bercuti kerana cuacanya lebih sejuk iaitu sekitar 30 hingga 40 darjah celsius. “Bulan 10 pun dah panas macam ni, kalau tengah summer macamanalah agakya” ujar Dahlia dalam hati. 

Kakinya melangkah ke kawasan pintu masuk Taj Mahal. Terdapat 3 pintu masuk yang disediakan untuk para pelancong, pintu timur, barat dan selatan, dan kemudian semua pengunjung mesti melalui pintu gerbang utama ke Taj Mahal atau dipanggil juga The Great Way to the Taj Mahal. Terdapat beberapa bangunan tinggalan sejarah di sepanjang laluan ke The Great Way to the Taj Mahal itu. Dahlia sangat kagum dengan binaan monumen-monumen di sekelilingnya. Langkah diteruskan di celah-celah ribuan manusia lain di situ. Dengan kamera sudah tersedia bergantung di leher, beg sandangnya juga digalas di bahu kerana malam itu dan malam seterusnya akan dihabiskan di bandar Agra. Hotel yang telah ditempah hanya boleh didaftar masuk pada pukul 2 petang, jadi Dahlia tiada pilihan melainkan menggalas beg sandangnya. Dia sudah biasa begitu. 

Sejurus sahaja melepasi pintu gerbang utama, pandangannya menjadi pegun seketika. Kaki dan tangannya yang memegang camera terhenti, cuma matanya yang terpaku melihat keajaiban dunia di depan mata. “Seperti tak percaya aku sampai ke sini” ujarnya dalam hati. Itulah pandangan pertama Dahlia kepada binaan makam Mumtaz Mahal yang dibina atas dasar kasih sayang yang tidak terhingga oleh suaminya Shah Jahan yang berada nun jauh selepas taman bunga yang luas serta air pancut yang menghiasi kawasan itu. Dahlia tersentak hanya apabila dilanggar oleh orang di sekelilingnya yang juga ingin masuk ke kawasan itu. Dia terus melangkah masuk dengan perlahan. Entah berapa puluh keping gambar Taj Mahal yang diambilnya dari pintu gerbang itu. Sangat indah, marmar putih bersih Taj Mahal dikelilingi hijaunya taman, birunya air kolam dan bunga yang berwarna warni. “Seperti ada sesuatu.” getus Dahlia di dalam hati. 

Kelihatan ratusan malah ribuan pengunjung pada hari itu. Ada di antara penduduk tempatan yang menawarkan khidmat pemandu pelancong dan menangkap gambar, Dahlia melihat dari jauh. Kebanyakan mereka pergi secara berkumpulan dan sedang berpusu-pusu mengambil giliran untuk mendapatkan gambar latar belakang Taj Mahal yang terbaik dari situ. Dia juga tidak ketinggalan ingin bergambar di situ, sabar menunggu giliran. 

Seusai bergambar dengan latar belakang Taj Mahal, Dahlia terus menyusuri taman bunga dan berhenti sesekali untuk mengambil gambar Taj Mahal dari jarak yang lebih dekat. Semakin hampir dengan Taj Mahal, semakin Dahlia berdebar. Dia sudah tidak sabar, dia ingin menyentuh dan merasakan kesejukan batu marmar putih itu dengan tangannya sendiri. Uniknya, sebelum naik ke bangunan Taj Mahal, semua pelancong mestilah membalut kasut masing-masing dengan plastik yang disediakan di pintu masuk. Bagi sesiapa yang tidak mahu berbuat demikian, mereka akan diminta untuk membuka kasut, ianya untuk menjaga kebersihan bangunan makam itu. 

Mata Dahlia tidak putus-putus melihat Taj Mahal yang berada begitu dekat dengannya. Dia menghampiri dinding-dinding marmar dan menyentuhnya sendiri dan melangkah semakin hampir dengan pintu masuk ke makam Mumtaz Mahal. “Subhanallah” bisiknya dalam hati. Di pintu masuk makam itu terukir ayat-ayat suci Al-Quran. Teliti sungguh hasil kerjanya. 

Makam Mumtaz Mahal dikepung dengan jeriji besi, kelihatan juga duit syiling dan duit kertas bertaburan di dalam jeriji besi tersebut. Mungkin kepercayaan sesetengah agama lain untuk berbuat demikian. Dahlia mengelilingi makam tersebut dan kemudian keluar dari kawasan makam untuk ke ruang legar dalam bangunan itu juga. 

“Picture, picture! Want to take picture Miss. 100 rupee, 100 rupee.” Dahlia di sapa oleh seorang pemuda berkaca mata hitam dan memakai topi yang memegang kamera. 
“Thank you, no no. “ balas Dahlia memberikan isyarat ‘tidak’ tanpa merenung ke arah pemuda itu. Dia menolak kerana dia telah dapat bergambar di kawasan makam itu dengan bantuan pengunjung tempatan sebentar tadi. Dia juga teringat bagaimana dia dikerumuni oleh peniaga jalanan ketika melawat India Gate. Lebih kasihan, ramai golongan remaja yang menggendong anak kecil yang kelihatan tidak terurus. 
“Beautiful Miss, take some picture, 100 rupee.” ujar pemuda itu lagi sambil menyuakan kameranya. Kali ini Dahlia menoleh ke arahnya. 
“No, thank…..you.” Dahlia terhenti berkata-kata dan memerhatikan pemuda yang menawarkan khidmat menangkap gambar itu dari atas ke bawah. Pemuda itu senyum, manis sekali. 
“Hahahaa… Dahlia! Zikry lah. Apa yang you tengok atas bawah tu” ujar Zikry dan diiringi oleh tawa kecil Azlan.  
“Ya Rabbi, mati-mati saya ingatkan mamat hindi tadi.” pecah gelak mereka bertiga. 
“Jom jalan sekali dengan kami, you dah la seorang, bawa beg lagi. Dari suruh mamat hindi yang tolong tangkapkan gambar you, baik I yang tangkapkan.” pelawa Zikry. Mereka bertiga kemudiannya menyusuri ruang legar Taj Mahal. 

Bersebelahan dengan bangunan makam Taj Mahal tersebut, tersergam sebuah masjid yang sudah tidak digunakan. Binaannya terdiri dari batu merah dan marmar. Unik sekali. Mereka memerhatikan masjid itu dari jauh dan kemudian menuju ke sana. Azlan pula asyik dengan kameranya dan masih belum puas merakam gambar Taj Mahal, kali ini dari sudut yang berbeza pula. Mereka berjanji untuk bertemu dengan Azlan semula di ruang legar berhampiran pintu keluar nanti. 

“Azlan tu taksub dengan kamera dia. Merata tempat dah dia pergi semata-mata untuk ambil gambar.” ujar Zikry. Risau juga dia kalau-kalau Dahlia tidak selesa berjalan berdua dengannya. 
“Saya ada ramai jugak kawan macam tu, dont worry, dah faham sangat.” balas Dahlia sambil mereka berdua menuju ke arah masjid itu. Masjid itu merupakan kawasan yang terbuka, tanpa bumbung. Cuma beberapa baris jemaah sahaja dapat bersembahyang di bawah bumbung, manakala sebahagian besarnya tidak. Mereka berehat sebentar di ruangan teduh itu. Masing-masing mengeluarkan air minuman, dahaganya cuma Tuhan yang tahu. Terik sungguh cuaca tengahari itu. 
“You tau tak Dahlia, kalau I jadi Shah Jahan kan, I tak bina makam untuk isteri I.” Ucap Zikry sebaik sahaja meneguk air di mulutnya. 
“Jadi awak nak bina apa, atau how do you wish?” tanya Dahlia. 
“I akan bina masjid yang di dalamnya ada makam. Supaya semua orang boleh mengimarahkannya.” Jawab Zikry sambil merenung tajam tepat ke arah Dahlia. 
“Beruntungnya isteri awak.” balas Dahlia dengan senyuman nipis yang ikhlas. 
“Manis” Zikry masih memandang Dahlia, tiba-tiba mulutnya terpacul perkataan itu tanpa dia sendiri sedari. 
“Apa?” tanya Dahlia lagi.  Kata-kata Zikry tidak dapat didengarnya. 
“Oh, maksud I, sweet. Eh, bukan, maksud I cantik Taj Mahal dari sudut masjid ni. You nak bergambar?” Zikry tersenyum melirik menyedari dia telah terlepas cakap dan pantas menukar topik perbualan. 
“Boleh juga.” ujar Dahlia sambil menghulurkan kameranya. Zikry tersenyum simpul. Dia teringatkan gambar Dahlia dalam kamera Azlan yang diambil secara tidak sengaja di Qutub Minar semalam. “I will make her a surprise” katanya dalam hati. 

Zikry membiarkan Dahlia berehat sendiri sementara menunggu Azlan di tempat yang dijanjikan. Zikry telah dapat menelah yang Dahlia akan bermalam di Agra melihatkan beg sandang yang dibawanya, cuma tidak tahu untuk berapa malam. Namun dia tidak mahu bertanya. Sedikit sebanyak dia telah tahu perangai Dahlia yang tidak suka bercerita mengenai dirinya. Zikry dan Azlan juga telah bercadang untuk bermalam di Agra. 

Matahari sudah tegak di kepala. Azlan muncul dan mereka bertiga mengambil keputusan untuk makan tengahari bersama-sama di sebuah restoren  halal yang hanya beberapa meter dari kawasan itu. Enak sungguh bila dapat menikmati nasi beriyani bersama ayam. 

“Dahlia akan bermalam di Agra ya?”tanya Zikry selepas selesai menikmati makanannya. 
“Ya, rasanya esok nak ke Taj Mahal lagi. Awak berdua balik ke Delhi ya?” jawab Dahlia. 
“Haaa, baguslah tu. Kami pun stay di Agra malam ni.” Jawab Azlan sambil mengangkat kening kepada Zikry. “Barulah lena si Zikry ni agaknya bila Dahlia depan mata” telahnya dalam hati. 
“Yelah, kebetulan pulak. So you duduk hotel mana?” tanya Zikry lagi sambil tersengih-sengih. 
“Taj Resort, dekat je.” jawab Dahlia yang baru saja meneguk airnya. Dia kehausan. 
“Lahh, samalah. Elok sangatlah tu, sejalan.” jawabnya girang. Dalam hatinya gembira tidak terkata, bermaksud ada sehari lagi bersama Dahlia di kota cinta Agra itu.
“Mana luggage awak? takda pun.” sangkal Dahlia. Dia seakan tahu apa yang ada dalam fikiran Zikry. 
“Oh ada dalam kereta, kami sewa kereta di Delhi, esok balik ke sana.” jawab Zikry lagi. Girangnya tidak  terkata, dia sempat mengangkat-angkat kening pada Azlan yang baru saja kembali ke meja setelah membasuh tangan. Azlan tergelak kecil. 
“Oh macamtu, oklah. Saya tumpang awak berdua lah ya.” ujar Dahlia. Azlan dan Zikry mengangguk tanda setuju. Dalam kembara solonya selama ini, Dahlia telah biasa bergaul dengan pengembara solo dari negara lain. Kadangkala mereka menjadi teman ke tempat-tempat yang sama ingin dilawati. Dahlia saja sudah mempunyai ramai kenalan yang mempunyai minat yang sama, kerana itulah dia tidak merasa janggal bercampur dengan dua orang pemuda yang baru dikenalinya itu. Dahlia percaya mereka berdua orang yang baik-baik. 

“Jom kita gerak. We need to check in. Kita belum Zohor lagi ni, nanti terlepas waktu pulak.” ujar Azlan. Dia bingkas bangun. Zikry dan Dahlia menuruti di belakang. Jam telah pun menunjukkan hamper pukul 3 petang. 

----------

No comments:

Post a Comment